TIPS ANAK JADI LEBIH SIHAT DAN TIDAK MUDAH SAKIT

Halo-halo semua, selamat pagi. Moga semuanya dalam keadaan kesihatan yang baik-baik saja. Bercakap mengenai kanak-kanak yang sedang membesar, Mereka mudah terdedah dengan jangkitan kuman yang menyebabkan mereka akan sakit demam, selesema dan batuk. Sebagai ibu bapa, sememangnya sangat risau bilamana anak mereka kerap sakit.

Dengan itu betapa pentingnya mendidik dan  mengajar anak-anak supaya pandai menjaga kesihatan diri supaya risiko sering jatuh sakit dapat dikurangkan dan tentunya mendisiplinkan mereka dari kecil adalah perkara yang baik.

Kanak-kanak ini, mudah meniru gaya atau perbuatan orang dewasa terutamanya ibu bapa mereka. Oleh itu, apa kata biasakan anak-anak anda dengan beberapa amalan kesihatan  berikut supaya akan menjadi rutin dalam hidup mereka dan secara tidak langsung mengajar mereka cara hidup sihat.

1)KERAP MENCUCI TANGAN 

Tangan adalah tempat paling banyak bakteria membiak. Apatah lagi dalam kalangan kanak-kanak yang aktif meneroka pelbagai aktiviti lasak di sekeliling mereka. Oleh itu sentiasa ajar anak anda membersihkan tangan sebelum makan, selepas makan atau selepas melakukan aktiviti bermain. Ajarkan mereka langkah membersihkan tangan dengan betul sambil memberitahu apa sebab mereka perlu mencuci tangan.

2)DISIPLINKAN WAKTU TIDUR

Biasakan anak anda tidur secara teratur setiap hari. Sentiasa pastikan dia tidur pada waktu yang sama setiap malam. Tidur dengan jadual yang sama setiap hari melatih anak anda menjadi lebih berdisiplin dan paling penting dia akan lebih sihat dan terhindar daripada mudah mendapat penyakit.

3)BANYAKKAN MAKAN SAYUR DAN BUAH-BUAHAN

Amalan pemakanan yang sihat juga menjadikan anak anda membesar sebagai kanak-kanak yang mempunyai sistem imun yang kuat. Cara terbaik memenuhi keperluan vitamin dan mineralnya iaitu dengan banyak makan sayur dan buah-buahan. Pilih makanan yang kaya dengan vitamin C seperti brokoli, strawberi dan kiwi, makanan yang kaya dengan vitamin D seperti ikan tuna, susu dan bijirin. Mengamalkan makan yogurt diperkaya probiotik aktif juga boleh meningkatkan ketahanan tubuh.

4)KONSISTEN BERIADAH

Aktiviti riadah secara konsisten dapat mengurangkan risiko kerap mendapat demam selesema. Beriadah secara sihat membuatkan sel-sel menentang jangkitan kuman berjalan dengan lancar. Ia lebih baik berbanding pengambilan ubat-ubatan. Oleh itu, bawa anak anda beriadah di luar rumah atau sekadar main kejar-kejar di taman.

5)JAUHKAN ANAK DARIPADA ASAP ROKOK

Kita selalu terlepas pandang hal ini. Anak-anak yang tinggal serumah dengan ibu bapa atau orang dewasa yang merokok terdedah kepada asap rokok secara tidak langsung. Berdasarkan hasil kajian epidemiologi, risiko bagi kanak-kanak mengalami jangkitan kuman pneumonia adalah lebih tinggi. Oleh itu silalah berhenti merokok wahai para bapa yang masih menghisap rokok. Walaupun anda merokok di luar rumah dan jauh daripada anak-anak tetapi kesan asap rokok pada pakaian dan mulut anda, tetap memberikan kesan yang sama kepada anak.

Oleh kerana itu, Kanak-kanak memerlukan persekitaran yang bersih untuk membesar sebagai anak yang sihat dan tak mudah jatuh sakit. Selamat beramal 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge